Thursday, March 11, 2010

Solat Berdiri atau Duduk dalam Pesawat

Ini adalah tulisan Kapten Hafiz Firdaus tentang solat duduk:

Berdiri dalam solat-solat fardhu yang lima adalah wajib dan kewajipan ini merupakan salah satu dari rukun solat yang tidak diperselisihkan lagi di kalangan mana-mana ulama' sepanjang zaman. Perintah jelas dari Allah Azza waJalla: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu khasnya sembahyang wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyu'.” [Maksud Surah al-Baqarah 2 - 238]. Kewajipan ini berkurang jikalau seseorang itu sukar melaksanakannya kerana sakit atau dalam suasana musafir yang sukar sepertimana yang akan diterangkan berikut ini. Akan tetapi jikalau seseorang itu sengaja solat tanpa berdiri tanpa sebarang keuzuran atau kesukaran maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dia dikira sengaja meninggalkan salah satu dari rukun wajib solat. Huraian bab ini dimulakan dengan kaedah solat dalam suasana sakit atau uzur kerana hubung-kaitnya yang kuat dengan kaedah solat dalam suasana musafir.

Kaedah solat bagi kesakitan fizikal tubuh badan.

Seseorang yang sakit dan tidak dapat berdiri maka dibolehkan dia bersolat secara duduk dan jikalau masih tidak boleh duduk maka dibolehkan dia bersolat secara berbaring di lambung kanan dan jikalau masih tidak mampu maka dibolehkan dia bersolat dengan berbaring menelentang. Apajua kesukarannya kewajipan solat tetap wujud atas dirinya dan dia tetap wajib melaksanakannya. Solat yang didirikan secara duduk atau berbaring jikalau benar-benar tidak mampu adalah dikira sah dan tidak perlu diulangi.

Pernah di satu ketika Imran bin Hushain radiallahu-anhu menderita sakit buasir (haemorrhois) yang berat lalu dia bertanya kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengenai cara solatnya maka beliau bersabda: Solatlah dengan berdiri, kalau tidak kuat maka duduklah , kalau (masih) tidak kuat maka berbaringlah dengan posisi miring.[1] Kaedah pendirian solat fardhu seseorang itu adalah selari dengan kadar kesakitan yang dihadapinya. Jikalau dia tidak boleh berdiri maka duduklah kemudian rukuk dan sujud seperti biasa. Cara duduk sebaiknya ialah dengan bersila, sebagaimana keterangan A'isyah radiallahu-anhu selaku isteri Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut: Aku melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat sambil duduk bersila (mutarobbi')[2] Jikalau boleh berdiri tetapi tidak boleh membongkok maka berdirilah seperti biasa manakala rukuk dan sujud adalah memadai dengan isyarat semampu. Jikalau tidak boleh berdiri dan tidak boleh membongkok maka solatlah dengan duduk, rukuk dan sujud diisyaratkan dengan pergerakkan kepala. Ajar Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Jikalau mampu bersujudlah di atas tanah dan jikalau tidak mampu maka berisyaratlah dengan jelas dan jadikanlah sujud-mu lebih rendah dari rukuk-mu.[3] Jikalau tidak mampu juga maka berbaringlah secara miring iaitu berbaring di lambung kanan dengan mukanya menghadap ke arah qiblat, demikian penerangan Ali bin Abi Talib radiallahu-anhu [4] dan demikian juga merupakan pendapat pilihan Mazhab Shafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.[5] Jikalau masih tidak mampu maka berbaringlah menelentang dengan muka menghadap langit, rukuk dan sujudnya adalah dengan isyarat mata manakala mulut dan hati tetap khusyu' dengan bacaan-bacaan solat. Walauapapun keuzuran yang dihadapi, kewajipan solatnya tetap hadir selagi akal masih ada dan sedar. Solat sebegini tetap sah dan tidak perlu diulangi.[6]

Akan tetapi jikalau sakitnya itu ada minimal dan masih membolehkan solat seperti biasa maka hendaklah dia berusaha berdiri seperti biasa. Anas bin Malik radiallahu-anhu meriwayatkan hadith berikut: Ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam memasuki kota Madinah, kota ini telah diserang wabak dan orang-orang pun menjadi sakit. Lalu beliau masuk ke dalam masjid dan di saat itu orang sedang solat duduk. Melihat itu beliau bersabda: "Solat orang yang duduk pahalanya setengah dari solat orang yang berdiri." Mendengar itu orang-orang pun segera berdiri untuk (meneruskan) solat.[7] Perbandingan antara dua hadith di atas menunjukkan bahawa bersolat sambil duduk atau berbaring itu bagi yang sakit adalah dibenarkan tetapi yang sebaik-baiknya adalah dilaksanakan secara berdiri sesempurna mungkin.[8] Justeru itulah kita dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam walau di kala usianya yang sudah lanjut tetap berusaha untuk melaksanakan solatnya secara berdiri sekalipun dengan menggunakan tongkat atau bersandar pada dinding atau tiang. Hanya di ketika beberapa hari sebelum kewafatannya barulah beliau bersolat secara duduk. Ummu Qays binti Mihshan radiallahu-anha menerangkan: Bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam setelah beliau uzur dan kegemukan, beliau membuat sebuah tiang di tempat solatnya untuk dijadikan tempat bersandar.[9]

Keterangan dalam kaedah solat dalam suasana sakit ini sengaja dihuraikan secara panjang lebar kerana tiga sebab - pertama supaya orang yang terlantar di hospital tidak mudah mengabaikan solatnya, kedua - bagi menunjukkan bolehnya bergabung dua atau lebih keuzuran dalam satu suasana, seperti uzur berdiri bagi solat dan uzur menghadap qiblat dan - ketiga kerana ia berkait rapat dengan kaedah solat di atas kenderaan atau pesawat terbang.

Kaedah solat dalam pesawat terbang.

Dibolehkan solat dalam kenderaan samada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan. Dalil yang membolehkan ialah hadith berikut daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu? Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.[10] Hadith di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu kerana pelajaran hadith (illat) bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan perlaksanaan solat di atas kenderaan.[11]

Jikalau solat secara berdiri di atas kenderaan adalah berbahaya atau menyukarkan maka boleh bersolat secara duduk, diteladani dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas kenderaan tunggangan mereka. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai ke tahap darurat tetapi adalah memadai dengan sesuatu yang memberatkan. Hadith berikut menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan sahabatnya pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat - Ya'la bin Murrah radiallahu-anhu menerangkan bahawa para sahabat pernah beserta Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.

Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang muadzzinnya lalu ia azan dan iqamah lantas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terus maju dengan kenderaannya dan solat berjamaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendh dari rukuknya.[12]

Dua hadith di atas jelas membolehkan solat-solat fardhu dilaksanakan di atas kenderaan dan jikalau seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka boleh dilaksanakan secara duduk. Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain, radiallahu-anhum.[13] Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi. Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat. Demikian menurut ijma' para fuqaha Mazhab Shafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.[14]

Imam an-Nawawi mensyarahkan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie), apabila seseorang bersolat fardhu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Shafie jika orang yang sedang solat itu sedang kepeningan (mabuk laut) umpamanya maka bolehlah dia mengerjakan solat fardhunya sambil duduk kerana dia di pandang sebagai tidak upaya berdiri. Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu dan terus mengerjakan solat.[15]

Kaedah menunaikan solat fardhu di atas pesawat terbang adalah sama dengan kaedah solat di darat. Hanya apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain, iaitu:

1. Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jikalau ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai. Satu alternatif lain ialah memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita dan berusaha menolong berbanding dengan syarikat penerbangan non muslim.

2. Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.

3. Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.

4. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda 'Pasang tali pinggang keselamatan' atau 'Fasten seat belt' maka sebaiknya ialah duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang. Memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama malah akan dipertangunggkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.

5. Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.

Jikalau terdapat dua pilihan, satunya ialah boleh menghadap ke arah qiblat tetapi solatnya harus secara duduk manakala yang kedua ialah boleh solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap qiblat melainkan di takbir yang pertama maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap qiblat sekalipun secara duduk kerana solat secara duduk sememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas di kala kesukaran manakala solat tanpa menghadap qiblat dengan sempurna adalah satu kebolehan yang diijtihadkan. Sila ulangkaji dan bandingkan huraian antara bab ini dengan bab sebelum.

Jikalau terdapat dua pilihan di mana kedua-duanya boleh didirikan solat secara sempurna, pilihan pertama ialah solat di atas pesawat manakala pilihan kedua ialah solat di atas darat maka kedua-duanya mempunyai keutamaan yang sama tarafnya. Dalilnya ialah riwayat berikut: Abdullah bin Abi Utbah radiallahu-anhu menerangkan - Aku pernah menyertai Jabir bin Abdillah, Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah radiallahu-anhu dalam satu kapal. Maka mereka bersolat secara berdiri berjamaah, yang seorang mengimami yang lain padahal mereka sanggup mendarat di pantai.[16] Akan tetapi hendaklah diutamakan suasana yang memungkinkan solat itu didirikan di awal waktu mengingatkan keafdalannya dan tambahan lagi mungkin sahaja solat yang tangguhkan itu akan terhalang oleh sesuatu yang tidak dijangka.

Sekali lagi dinyatakan bahawa seseorang itu wajib berlaku benar dalam kaedah penunaian solatnya samada berdiri atau duduk, samada di ruang terbuka atau di kerusi asal. Tidak sah solat orang yang sengaja hendak solat secara duduk atau sengaja enggan mencari suasana yang memungkinkan solatnya menjadi sempurna. Jikalau semua alternatif dan usaha telah dilakukan maka hendaklah dia tetap melaksanakan solatnya itu dalam cara yang termampu dan ia tetap dikira sah tanpa perlu diulangi atau diqadha.


Kesimpulan

1. Solat di atas pesawat terbang atau apa-apa jua medium pengangkutan adalah dibolehkan.

2. Perlaksanaan solat di atas pesawat adalah tetap wajib seperti kaedah yang biasa kecuali jikalau menghadapi kesukaran maka dibolehkan duduk dan sebagainya selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.

3. Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.

4. Sementara itu tidak sah solat secara duduk jikalau tiada kesulitan untuk melaksanakannya secara berdiri. Malah dia dikira berdosa kerana sengaja meremehkan perintah agama.

_____________________________________

Nota kaki:

[1] Maksud hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no:0914.

[2] Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 1635.

[3] Maksud hadith riwayat Imam ath-Thabrani dalam kitabnya Mu'jamul Kabir, 3/189; disahihkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Silsalah al-Hadith as-Sahihah, no: 323.

[4] Riwayat Imam ad-Daruquthni, didaifkan oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/267 walaubagaimanapun pengajaran hadith diterima ramai sebagai bentuk pedoman.

[5] Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/346.

[6] Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/143-150; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/345-348.

[7] Maksud hadith dari Musnad Ahmad dan Mushannaf Abdurrazzaq, dikutip oleh Imam as-Suyuti dalam Asbab Wurud al-Hadith li as-Suyuti - Tahqiqan wa Ta'liqan wa Dirasatan - no: 10 .

[8] Imam Ibnu Hajar Aqsalani dalam Fath-ul-Bari, 2/468; Shaikh Nasiiruddin Albani - The Prophet's Prayer Discribed, pg 4-5.

[9] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0910.

[10] Maksud hadith riwayat Imam al-Bazzar dan Daruquthni, disahihkan oleh Imam al-Hakim mengikut syarat-syarat Bukhari dan Muslim dan dipersetujui oleh Imam adz-Dzahabi akan kesahihannya, dihujahkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam The Prophet's Prayer Discribed, pg 5 tanpa komentar tambahan; demikian juga oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/265-266.

[11] Prof. Dr. Hasbi ash-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/425.

[12] Maksud hadith riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 4/174; dan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya, no: 0407; disahihkan oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/268-270.

[13] Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/323; Imam Ibnu Taimiyah - Ikhtiarat al-Ilmiyyah, ms 74.

[14] Prof. Dr. Hasbi ash-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/424

[15] Imam an-Nawawi -Majmoo Syarh al-Muhaddzab, 3/241-243.

[16] Maksuh riwayat yang dibukukan oleh Imam Sa'id ibnu Manshur dalam kitab Sunannya, dikutip oleh Shaikh-ul-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam al-Muntaqa al-Akhbar min Ahadith Sayyid al-Akhbar, 1/662.

Hadis-Hadis Sekadar Renungan

Sabda Rasulullah saw. :

وَعَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص "إِنَّ اللهَ يُحِبُّ اَنْ تُؤْتَي رُخَصُهُ كَمَا يَكْرَهُ اَنْ تُؤْتَي مَعْصِيَتُهُ"

Dari Ibnu Umar, ia berkata : Rasulullah saw. bersabda : “ Sesungguhnya Allah senang keringanan hukum-Nya itu diamalkan, sebagaimana Dia benci larangan-Nya itu dikerjakan.” H.R. oleh Ahmad

JARAK QASAR SEMBAHYANG ( Dari artikel gayat )

Jarak yang membolehkan kita meng-qasar sembahyang

(1) Ulama menyatakan bahawa terdapat lebih dari 20 mazhab atau pendapat tentang jarak jauh perjalanan dibenarkan kita meng-qasar sembahyang. namun, menurut Syed Sabiq, tidak ada satu hadispun yang menyebutkan had jauh atau dekatnya perjalanan musafir.

(2) Beliau menyatakan bahawa dalil dan hujah yang kuat menunjukkan tidak ada batas jauh perjalanan. Boleh mengqasar sembahyang tidak kira perjalanan itu jauh ataupun dekat. Asalkan menurut bahasa ia dinamakan musafir.

(3) Perincian pembahasan dalil dan hujah dapat dilihat dalam petikan kitab Feqhussunnah berikut:

II. JARAK BOLEHNYA MENGQASHAR

Menurut ayat tersebut di atas dapat diambil keterangan bahwa pada setiap bepergian, pendeknya apa yang dikatakan menurut bahasa bepergian, biar jauh ataupun dekat, boleh dilakukan mengqashar itu. Selain itu boleh pula dilakukan jama serta berbuka - yakni tidak melakukan puasa wajib - Tidak sebuah haditspun yang menyebutkan batas jauh atau dekatnya bepergian itu. Ibnul Mundzir dan lain-lain ulama menyebutkan lebih dari duapuluh pendapat tentang masalah ini. Di sini akan kita cantumkan yang lebih kuat yaitu:

Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Baihaqi meriwayatkan dan Yahya bin Yazid, katanya:
Saya bertanya kepada Anas bin Malik perihal mengqashar shalat. Ujarnya: Rasulullah s.a. w. bersembahyang dua rak at kalau sudah keluar sejauh tiga mil atau tiga farsakh.

Hafizh Ibnu Hajar mengatakan dalam kitab Al-Fath bahwa inilah hadits yang paling sah dan paling tegas menjelaskan jarak bepergian yang dibolehkan mengqashar itu.

Keragu-raguan mengenai soal mil atau farsakh dapat diberi penjelasan oleh hadits yang diriwayatkan oleh Abu Said al Khudri, katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w. bepergian sejauh satu farsakh, maka beliau mengqashar shalat. (Diriwayatkan oleh Said bin Manshur dan disebutkan oleh Hafizh dalam At-Talkhish, dan ia mendiamkan hadits ini sebagai tanda pengakuannya).
(Nota: Hadis ini telah dikatakan dhaif oleh Muhaddith ulung Sheikh Albani-Lihat penjelasan lebih lanut kemudian)*

Sebagai diketahui satu farsakh itu sama dengan tiga mil. Maka hadits Abu Sa'id ini cukup menghilangkan keragu-raguan yang terdapat dalam hadits Anas, dan menyatakan bahwa Rasulullah s.a.w. telah melakukan qashar jika beliau bepergian dalam jarak sedikit-dikitnya sejauh tiga mil. Satu farsakh ialah 5541 meter sedang satu mil 1748 meter.

Ada pula yang menyatakan bahwa sedikitnya jarak mengqashar itu ialah satu mil, dan hadits yang menjadi alasannya diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan isnad yang sah dari lbnu Umar. Pendapat inilah yang dianut oleh lbnu Hazmin, dan sebagai alasan bahwa tidak boleh mengqashar bila kurang dari 1 mil, dikemukakannya bahwa Nabi s.a.w. pergi ke Baqi untuk menguburkan orang-orang yang meninggal dan keluar ke suatu padang untuk membuang hajat, tapi shalatnya tidak diqasharnya. Adapun syarat yang dikemukakan oleh para ahli fikih bahwa boleh mengqashar itu hanyalah pada perjalanan jauh, dengan jarak sekurangnya dua atau tiga marhalah - ada dua pendapat -, maka untuk menolaknya cukuplah uraian yang dikemukakan oleh Imam Abu Kasim al-Kharqi dalam buku Al-Mughni, katanya:

Saya tak dapat menemukan alasan dalam pendapat Imam-Imam itu, sebab keterangan-keterangan dari para sahabat juga saling bertentangan hingga karenanya tak dapat dipakai sebagai hujjah atau dalil. Dan sebagai diketahui, pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas menyalahi pendapat mereka, dan umpama menyetujuinya, tapi ucapan para sahabat itu taklah dapat diambil alasan di depan ucapan Nabi dan perbuatan beliau. Dengan demikian tidaklah dapat diterima ukuran jauh yang mereka sebutkan itu disebabkan dua hal:

Pertama karena menyalahi sunnah Nabi s.a.w. yang tersebut dulu.

Dan kedua karena lahirnya/zahir firman Allah Taala membolehkan qashar bagi orang yang dalam perjalanan sbb.:

Apabila kamu bepergian di muka bumi, maka tak ada salahnya jika kamu mengqashar shalat.

Syarat karena takut sudah dapat dihilangkan dengan hadits Yala bin Umaiyah. Maka tinggallah lahir ayat itu yang mencakup segala macam bepergian, pendeknya asal sudah disebut bepergian.

Mengenai sabda Nabis s.a.w. yang membolehkan seorang musafir itu mengusap khuf atau sepatunya selama tiga hari, maka hadits itu hanya menyatakan lama bolehnya menyapu. hingga tak mungkin diterapkan dalam masalah ini, sebab soalnya berlainan. Lagi pula bepergian jarak dekat dapat saja ditempuh dalam tiga hari, sedang ini oleh Nabi s.a.w. masih dinamakan bepergian juga, sebagai sabda beliau:

"Tidaklah halal bagi seurang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, bepergian selama sehari perjalanan kecuali dengan muhrimnya.

Kedua, menetapkan batas ukuran itu tidaklah dapat hanya dengan pendapat manusia semata tanpa dasar atau persamaan yang dapat dikiaskan. Maka alasan yang kuat berada di pihak orang yang membolehkan qashar bagi setiap musafir, kecuali bila ijma menentangnya. Dan dalam hal ini tak ada bedanya bepergian itu dengan kapal terbang, kereta api dll., juga baik perjalanan itu dengan tujuan menunaikan perintah Allah atau untuk maksud maksud lain. Dan termasuk pula dalam bepergian, orang-orang yang usaha atau matapencariannya mengharuskannya selalu berada dalam perjalanan, seperti pelaut, konduktur kereta api dll, sebab pada hakekatnya itu juga berarti bepergian. Oleh sebab itu ia boleh mengqashar, berbuka puasa dll.


Beberapa pendapat ulama Saudi mengenai 'jarak' perjalanan

Sheikh Saleh Munajjid mengatakan bahawa jumhur ulama' yang terdiri dari Maliki, Hanbali dan Syafie telah berpendapat mengambil 'jarak' perjalanan yang diambil semasa perjalanan bagi menqasarkan solat adalah sebanyak 4 burud, yang lebih kurang perjalanan 2 hari dengan unta yang membawa muatan penuh (bersamaan 88.7 km). Mereka telah memetik hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar dan Ibnu Abbas yang menqasarkan solat dan berbuka puasa didalam perjalanan 4 Burud. Petikan jarak ini adalah secara anggaran dan bukanlah had yang tepat sebagaimana jumhur ulama', maka kemungkinan ia kurang daripada itu.

Beberapa ulama seperti Ibnu Qadama, Sheikh Al-islam Ibnu Taimiyyah dan anak muridnya Ibnu Al-Qayyim telah mengambil pandangan bahawa ia merujuk kepada perjalanan secara amali dan juga bahasa. Justifikasi ini pada umumnya merujuk kepada menqasar solat sebagaimana yang terdapat didalam Al-Quran dan Sunnah, contohnya surah Al-Nisaa' 101-102.

Menurut Sheikh Saleh Munajjid bahawa ayat tersebut merujukkan kepada keizinan menqasarkan solat tanpa memberitahu secara spesifik mengenai had jaraknya. Al-Quran dan Sunnah menyebut 'perjalanan' dan tidak membeza satu perjalanan yang tertentu dari yang lain. Contohnya jika seorang itu perjalanannya menggunakan udara selama 1 jam tanpa apa-apa kesusahan atau beban diizinkan mengqasarkan solat dan berbuka puasa fardu. Secara fakta, pandangan ini lebih baik, melainkan jika terdapatnya kekeliruan sama ada ia dianggap perjalanan atau tidak, maka dengan itu ia jatuh kembali kepada pandangan jumhur ulama' berkenaan dengan jarak minima yang diperlukan.

Menurut seorang lagi ulama Saudi, yang juga bekas Mufti Saudi, Sheikh Muhammad ibnu Saalih Utsaimin didalam bukunya Ilaam al-Musaafireen bi Bad Aadaab wa Ahkaam al-Safar wa maa yakhuss al-Mallaaheen al-Jawwiyyeen, halaman 5, beliau juga memilih jarak perjalanan sebagai kaedah yang lebih mudah untuk diamalkan walaupun dari segi 'uruf atau budaya setempat adalah lebih tepat. Kata beliau:

"beberapa ulama berpendapat bahawa perjalanan didefinasikan dengan jarak diantara 81 dan 83km atau lebih. Ada yang berpendapat bahawa perjalanan didefinasikan oleh 'uruf, jadi apa-apa yang dikatakan sebagai perjalanan menurut budaya setempat dianggap sebagai perjalanan, walaupun tempat itu berdekatan, dan apa-apa yang dianggap sebagai bukan perjalanan, tidak dikira sebagai perjalanan. Ini adalah pandangan yang dipilih oleh Sheikul Islam Ibnu Taimiyyah, dan ia lebih benar dari pandangan dalil (bukti), tetapi sukar untuk di praktikkan, kerana seseorang boleh menganggap sesuatu trip itu sebagai perjalanan sementara orang lain mengatakan tidak. "


Kata Utsaimin lagi :

"Tetapi definasi yang berdasarkan kepada jarak adalah lebih tepat dan jelas kepada manusia. Jika dipersetujui sesuatu perjalanan berdasarkan kedua-dua jarak dan 'uruf, maka disana tidak perlu dibahaskan. Jika terdapatnya perbezaan diantara jarak dan 'uruf, maka seseorang itu harus mengambil tindakan menurut mana pandangan yang lebih selamat."

Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz, yang juga bekas Mufti Saudi, didalam buku Fatawaa Islamiyyah, 1/400 dan Majmu' fatawa Bin Baaz 4/457, beliau mengamalkan jarak sebagai penentu menqasarkan solat dan berbuka puasa. Didalam menjawab soalan seorang yang bermusafir sejauh 100km apakah beliau boleh menjama' dan menqasarkan solat, beliau menjawab :

"Jika seseorang bermusafir 100km dari bandarnya, atau lebih kurang jaraknya, sesungguhnya diboleh melakukan hukum musafir dengan menqasarkan solatnya, atau tidak berpuasa, menjama'kan solat-solatnya dan menyapu khuf (berwudhu') selama 3 hari, kerana jarak ini dianggap sebagai perjalanan. Begitu juga jika perjalanan 80km atau lebih kurang; yang dianggap sebagai jarak yang membolehkan solat dipendekkan menurut jumhur ulama'"


*Tambahan

Petikan dari Tamamul Minnah:

Mu'alif (Syed Sabiq) berkata mengenai masalah al-qasar (jarak ketetapan qasar):

Keragu-raguan mengenai soal mil atau farsakh dapat diberi penjelasan oleh hadits yang diriwayatkan oleh Abu Said al Khudri, katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w. bepergian sejauh satu farsakh, maka beliau mengqashar shalat. (Diriwayatkan oleh Said bin Manshur dan disebutkan oleh Hafizh dalam At-Talkhish, dan ia mendiamkan hadits ini sebagai tanda pengakuannya).

Saya berkata (Sheikh Al-Albani): Mu'alif terjebak oleh berdiam dirinya Al-Hafidz dan didahului oleh Al-Shan'ani didalam Subul as-Salam dan Al-Syaukani didalam as-Sail al-Jarrar (I/307). Adapun dalam Nailoor Authar, Al-Syaukani meragukan kesahihannya. Kemudian beliau (Al-Syaukani) mengatakan (III/176):

"Al-Hafidz didalam Al-Talkhish menyampaikan tetapi tidak menjelaskannya. Jika hadis itu sahih, maka farsakh itulah yang ditetapkan dan solat tidak diqasarkan dalam (perjalanan) yang berjarak kurang dari satu farsakh jika itu sudah disebut safar (berpergian) baik secara bahasa mahupun syari'e."

Saya berkata (Sheikh Al-Albani) : Bagaimana hadis ini sahih jika didalam sanadnya ada Abu Harun al-'Abdi. Dia - kata al-Hafidz didalam at-Taqrib - matruk (tertinggal) dan ada pula yang menganggapnya sebagai pembohong.

Saya (Sheikh Al-Albani) telah mentakhrijkannya didalam al-Irwa' (III/15) dari riwayat sejumlah besar para penulis dari Abu Harun. Lihat al-Irwa' kepada mereka yang berminat.

Dalam hal ini ada faktor yang menguatkan untuk tidak boleh mudah terjebak oleh berdiam dirinya Al-Hafidz mengenai hadis, agar tidak muncul anggapan bahawa hadis ini sahih, walaupun didalam al-Fath karya beliau yang paling bersih dari hadis-hadis da'if. Beruntunglah al-Hafidz kerana tidak mencatatkan hadis ini didalam al-fath.

Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu menerangkan:



جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ. فَقِيلَ لابْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ إِلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ.



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamak sembahyang Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”
[Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1211]
Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:

Hadis ini tidaklah seperti apa yang disangka oleh banyak para penuntut ilmu bahawa sembahyang (jamak) itu boleh dilakukan bila-bila sahaja tanpa pertimbangan dan tanpa alasanpun… Tetapi jika ada sesuatu yang memberatkan untuk dilaksanakan sembahyang pada waktunya maka ketika itu boleh baginya menjamak sembahyang demi menghilangkan kesulitan tersebut ; baik berupa jamak taqdim ataupun ta’khir. Sesungguhnya alasan syar’i dari sembahyang jamak ini adalah untuk menghilangkan kesulitan dari kaum Muslimin. Maka jika tidak ada kesulitan tidak boleh jamak, dan wajib bagi kita memahami hadis di atas secara sempurna. Dan kesempurnaan hadis tersebut adalah sebagai berikut: Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” Dengan adanya sembahyang jamak yang dilakukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan mukim dan tanpa uzur turunnya hujan bukan bererti semua orang boleh menjamak sembahyang tanpa adanya kesulitan. [Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatwa-Fatwa Albani, (Edisi terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta 2002), ms. 88-89.]

-dipetik dari buku Akob, SEMBAHYANG JAMAK

DAN QASAR ADALAH

SEDEKAH ALLAH


Wallahu A'lam